Xxpresi diri anda

TaBuNg

FoLLoW Me I WiLL FoLLoW U

ape pendapat anda?

hmmm agak tertarik dengan artikel ni... ruangan ‘Pendapat’ di Utusan Malaysia mukasurat 11 bertarikh hari ini 12 Diesember 2008..
Sijil cuti sakit uji integriti pekerja

Sebanyak 27 peratus daripada tiga perempat pekerja Malaysia yang mengambil cuti sakit pada tahun lalu didapati tidak jujur dalam tindakan mereka itu, menurut kaji selidik Kelly Services. Begitulah bunyinya ayat perenggan pertama dalam Utusan Malaysia bertarikh 11 Disember 2008.
Mungkin ada yang mengerutkan dahi tanda terperanjat, mungkin ada yang mengucap panjang tanda tidak percaya, mungkin ada juga yang tidak menunjukkan sebarang perubahan riak muka kerana isu itu sudah biasa berlaku dalam kalangan rakan-rakan sekerja atau mungkin ada juga yang tersenyum dan ketawa kerana mereka adalah sebahagian daripada statistik tersebut.
Walau apa pun reaksi, kita seharusnya lebih bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan. Tidak ada sebarang sebab yang membolehkan berlakunya situasi seperti itu melainkan ‘fatwa’ si pelakunya sendiri yang mampu menjelaskan keharusannya.
Sebenarnya isu ini bukanlah suatu yang asing bagi mereka yang bekerja. Sungguhpun begitu, ketiadaan fakta dan statistik hasil kajian yang dijalankan secara menyeluruh dan terperinci telah menyebabkan isu ini menjadi seperti api dalam sekam, seperti barah dalam badan.
Usaha pihak Kelly Services harus dipuji walaupun ia menampakkan kepincangan namun ia penting untuk sebarang usaha pembetulan.
Di dalam Buku Isu-isu Fiqh Perubatan Semasa karangan Al-Syeikh Walid bin Rasyid Al-Su’aidan (terjemahan Dr. Basri Ibrahim cetakan 2007) isu mengenai surat akuan sakit ini juga telah disentuh.
Menyentuh perbincangan mengenai surat cuti sakit ini, Islam memberi dua pandangan iaitu adakalanya ia menjadi harus dan ada kalanya ia menjadi haram.
Menurut pengarang, tidak timbul sebarang keraguan pada keharusan mengeluarkan sijil cuti sakit dengan syarat pesakit memberitahu aduan yang sebenar, iaitu menceritakan tentang penyakit yang dialaminya dan pegawai perubatan itu pula berdasarkan pengalamannya mendapati pesakit tidak dapat melaksanakan tugasnya dengan wujudnya penyakit seperti itu.
Apabila seseorang pesakit membuat aduan yang palsu bagi membolehkannya mendapat surat cuti sakit pada hal dia tidak layak mendapatkannya, maka dalam hal ini penulis meletakkannya dalam kategori haram.
Apatah lagi jika surat cuti sakit itu merupakan suatu yang dibeli dari mana-mana pihak tanpa berjumpa doktor pun.
Kita perlu ingat bahawa kehidupan kita di dunia adalah pentas bagi menilai sejauh mana perlakuan manusia di atas pentas yang sementara. Ganjarannya nanti adalah pada hari akhirat.
Di sana, kita akan melihat semula rekod-rekod cuti sakit palsu yang pernah kita gunakan di dunia dahulu ditunjukkan semula, walaupun sepandai-pandai mana kita menyorokkannya daripada pengetahuan pegawai atasan tempat kita bekerja.
Keadaan akan bertambah parah jika kita membuat perkiraan gaji yang kita terima pada hari kita ‘bercuti sakit’ itu sebenarnya ialah gaji yang kita tidak layak terima.
Ini kerana adalah tidak patut kita menerima gaji pada hari yang sebenarnya kita mampu bekerja tetapi disebabkan oleh kelicikan kita mendapat cuti percuma.
Setelah itu, wang gaji tersebut akan digunakan untuk perbelanjaan harian, menyara keluarga, memberi anak dan isteri makan dan minum dan segalanya akan menjadi begitu rumit ibarat kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Makanan yang haram bukan sahaja pada namanya sahaja, seperti daging khinzir namun cara memperolehinya juga boleh menyebabkan makanan yang dimakan menjadi haram atau syubhah.
Natijah menyuap makanan yang haram kepada ahli keluarga termasuklah anak-anak ini akan nampak mungkin pada peribadinya, malas untuk beribadat, rumah tangga yang tidak rukun damai, keperluan yang sentiasa tidak cukup dan banyak lagi halangan yang muncul. Mungkin kita ‘untung’ satu hari, tetapi ruginya bertahun-tahun.
Memang ada keadaan di mana kita benar-benar memerlukan cuti. Jika begitu ambil sahajalah cuti tahunan dan tidak perlulah himpunan cuti dibawa ke tahun hadapan atau ditukar ke hadiah wang tunai selepas pencen.
Jika kita kehabisan cuti sekalipun, ambillah cuti tanpa gaji walaupun situasi ini sedikit memeritkan. Namun, ia adalah jauh lebih mulia daripada menipu.
Membuat perancangan untuk bercuti merupakan satu lagi kaedah yang baik. Jika kita adalah jenis orang yang cutinya amat mudah terhakis seperti terhakisnya tanah tinggi selepas hujan, maka berjimat cermatlah sedikit.
Jika orang lain boleh menguruskannya, kita juga pasti boleh. Jika tidak boleh, belajarlah daripada mereka yang pandai menguruskan cuti tahunan mereka.
Bagi pihak yang mengeluarkan cuti sakit pula, kita seharusnya lebih bertanggungjawab dan bertindak mengikut garis panduan dan prosedur. Walaupun saudara-mara atau kenalan rapat yang meminta, katakanlah tidak boleh.
Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud: “Akan sentiasa ada di kalangan umatku mereka yang berdiri di atas kebenaran” (Al-Bukhari). Saidina Ali diriwayatkan ada berkata: “Katakanlah yang benar walaupun pahit.”
Amalan mengeluarkan sijil akuan sakit dengan dikenakan bayaran juga tidak bertepatan dengan etika seorang pegawai perubatan.
Jika ia berlaku di kaunter klinik kita, tanpa melalui kita sekalipun, kita masih bertanggungjawab untuk memastikan ia tidak berlaku.
Sesungguhnya rezeki itu semua datang daripada Tuhan. Sekiranya kita cuba untuk mendapat rezeki dengan cara yang tidak disukai oleh Yang Maha Pemberi, maka pastinya suatu hari nanti kita akan kecundang.
dr. irfan mohamad
Exco Persatuan Alumni Doktor Perubatan USM
usik2..: jagalah kesihatan tubuh badan kite.. jauhi perkara yg bleh menyakitkan badan kite.. insyallh banyak manfaat ye.. ekekekek
kalau suka klik sekali.. kalau tak klik 2 kali;p

No comments:

Post a Comment

LaGi MeNaRiK Di SiNi

Related Posts with Thumbnails